













Limbang, 27 Julai 2026 – Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam Penjagaan Alam Sekitar ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang berjaya menghimpunkan kira-kira 700 peserta di St. Edmund Hall, Limbang hari ini, sebagai usaha memperkukuh peranan pemimpin masyarakat dalam menyokong pembangunan mampan serta pemeliharaan alam sekitar.
Seminar anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak itu bertujuan memberi pendedahan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) mengenai aspek perundangan, dasar, garis panduan, tanggungjawab bersama serta amalan terbaik dalam pengurusan alam sekitar ketika pelaksanaan projek pembangunan. Program tersebut turut menjadi platform kepada pelbagai agensi kerajaan untuk berkongsi maklumat berkaitan peluang pembangunan, bantuan, skim sokongan dan inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Bersempena majlis tersebut, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak turut mengadakan Majlis Penyerahan Geran Tanah dan Cek Pampasan Tanah kepada para penerima sebagai sebahagian daripada agenda rasmi perasmian.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen P.222 Lawas, Yang Berhormat Dato Henry Sum Agong; Ahli Dewan Undangan Negeri N.80 Batu Danau, Yang Berhormat Dato Palu @ Paulus Palu Anak Gumbang; Controller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, YBhg. Datu Jack anak Liam; Residen Bahagian Limbang, YBrs. Tuan Haji Unus bin Tambi; Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation, YBrs. Tuan Abang Arabi bin Abang Aimran; Pegawai Daerah Limbang, YBrs. Tuan Sulaiman bin Engal; Penolong Pengarah Tanah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, YBrs. Encik Mohamad Razali bin Arsyad; Timbalan Controller (Pengurusan) NREB Sarawak, YBrs. Tuan Kenny Poon, serta ketua-ketua jabatan, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK), dan wakil daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan serta sektor swasta.
Sepanjang seminar berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai ceramah dan aktiviti berkaitan pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan komuniti. Antaranya ialah ceramah mengenai Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam Menyokong Kelestarian Alam Sekitar oleh NREB Bahagian Limbang, ceramah Policy and Strategic Plan: For Prevention of Peat Fires and Illegal Open Burning to Minimise Haze Pollution in Sarawak oleh NREB Ibu Pejabat, ceramah Pembangunan Pertanian Daerah Limbang oleh Jabatan Pertanian Sarawak, ceramah Pembangunan Wilayah dan Peluang Projek Komuniti di Bahagian Limbang oleh Regional Corridor Development Authority (RECODA), serta ceramah Apa yang Perlu Anda Tahu Mengenai Rabies oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
Selain itu, seminar turut dimeriahkan dengan aktiviti pengumpulan dan pembelian minyak masak terpakai serta sisa elektronik (e-waste) oleh Syarikat Timuran Kembangan, saringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Limbang, pameran dan perkongsian maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta cabutan bertuah.
Antara agensi yang menjayakan seminar ini ialah NREB Ibu Pejabat dan Bahagian Limbang, Sarawak Energy Berhad, Syarikat Timuran Kembangan, Pejabat Residen Bahagian Limbang, Pejabat Daerah Limbang, Majlis Daerah Limbang, Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Regional Corridor Development Authority (RECODA), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Pejabat Kesihatan Limbang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Penganjuran seminar ini dapat memperkukuh kerjasama strategik antara komuniti, agensi pelaksana, pemaju dan pihak berkuasa dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara mampan, memberi manfaat kepada rakyat serta memelihara kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.