Serian, 1 Julai 2026 – Natural Resources and Environment Board (NREB) telah dijemput oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Riih Daso untuk menyampaikan ceramah umum berkaitan alam sekitar sempena Majlis Pelancaran Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Riih Daso.
Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 184 orang murid dan 17 orang guru. NREB diwakili oleh SAECO Enderawati Mohamad Dahlan, EA Thomas Aquinas anak Iyus dan PK Mohd Syahiran bin Hassan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar SK Riih Daso, Encik Nixtion Oscar anak Raymond, merakamkan penghargaan kepada NREB atas penyaluran Geran Kelab PALS yang disifatkan sebagai pemangkin kepada warga sekolah untuk mempergiatkan pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Sepanjang program, pihak NREB telah menyampaikan ceramah bertajuk "Pengurusan Sisa Pepejal" yang memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan pengurusan sisa secara mampan dalam kehidupan seharian. Ceramah tersebut disusuli dengan sesi kuiz interaktif yang menerima sambutan amat menggalakkan daripada para murid.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Mewarna Alam Sekitar yang melibatkan murid Prasekolah hingga Tahun Enam, sekali gus menggalakkan kreativiti dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.




