Betong, 3 Julai 2026 – Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Bahagian Betong telah melancarkan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di Sekolah Kebangsaan Penom sebagai usaha memperkukuh pendidikan alam sekitar dan memupuk kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan biodiversiti dalam kalangan murid.
Program yang berlangsung di Dewan SK Penom itu dikendalikan oleh pegawai NREB Bahagian Betong iaitu AECO Mohd Syafiq bin Abdul Majid, EA Asyran Zharif bin Mos dan Protégé Nilly Betsy Anak Kalom. Seramai 24 peserta telah menghadiri program tersebut, melibatkan tujuh orang guru dan staf serta 17 orang murid.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti bacaan doa, tayangan montaj pertandingan mewarna, ucapan alu-aluan Guru Besar SK Penom, En. Alexander Gai Anak Mansor, ucapan perasmian oleh wakil NREB, gimik pelancaran PALS serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan mewarna bagi Kategori Tahap 1 dan Tahap 2.
Melalui pertandingan mewarna bertemakan biodiversiti, murid didedahkan kepada kepentingan memelihara flora dan fauna serta memahami isu-isu alam sekitar seperti pencemaran, kepupusan spesies dan pemuliharaan habitat. Program ini berjaya meningkatkan kesedaran, kreativiti dan penglibatan aktif murid dalam usaha memupuk budaya cintakan alam sekitar serta menyokong kelestarian alam di peringkat sekolah.





