Pembukaan rasmi Pejabat Bahagian NREB Kapit langkah strategik

Posted on 17 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo
Pembukaan rasmi Pejabat Bahagian NREB Kapit langkah strategik
Jack menurunkan tandatangan pada plak sebagai tanda perasmian pejabat NREB Kapit, hari ini.

KAPIT 16 Julai 2026 Khamis - Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) terus memperkukuh kehadirannya di seluruh Sarawak menerusi pembukaan rasmi Pejabat Bahagian NREB Kapit yang dijangka meningkatkan kecekapan pemantauan, penguatkuasaan serta penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurusan alam sekitar di bahagian itu.

Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam berkata, penubuhan pejabat itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kehadiran NREB di wilayah tengah Sarawak memandangkan bahagian Kapit meliputi kawasan seluas kira-kira 38,934 kilometer persegi, sekali gus menjadi antara bahagian pentadbiran terbesar di negeri ini.

Kapit katanya, juga menempatkan beberapa projek pembangunan berskala besar termasuk Projek Hidroelektrik Baleh yang memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan alam sekitar yang lebih berkesan.

"Dengan adanya pejabat khusus di Kapit, NREB kini mampu mempercepatkan tindak balas terhadap isu alam sekitar, memperkukuh operasi lapangan serta meningkatkan keberkesanan pemantauan pematuhan, pemeriksaan tapak, siasatan aduan, penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dan pelaksanaan program kesedaran awam," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Bahagian NREB Kapit, hari ini.

Menurut Jack, pada tahun 2025, NREB telah memantau lebih 1,350 projek pembangunan di seluruh Sarawak dengan 101 daripadanya dipantau oleh Pejabat Bahagian Kapit, di mana sehingga 30 Jun 2026, pejabat itu sedang memantau 75 projek pembangunan di daerah Song, Kapit dan Bukit Mabong.

Pembukaan rasmi Pejabat Bahagian NREB Kapit langkah strategik
Jack (empat kiri) bersama Edmund (tujuh kiri) serta yang lain pada majlis perasmian Pejabat Bahagian NREB Kapit, hari ini.

"Walaupun berdepan kawasan liputan yang luas serta kekangan bilangan kakitangan, pejabat NREB Kapit terus melaksanakan tugas pemantauan, pematuhan dan penguatkuasaan dengan berkesan, dibantu penggunaan teknologi dan automasi bagi memastikan setiap projek yang sedang berjalan dipantau sekurang-kurangnya sekali setahun selaras dengan Piagam Pelanggan NREB," jelasnya.

Sebelum pejabat NREB Kapit diwujudkan katanya, semua urusan pemantauan dan penguatkuasaan alam sekitar di Kapit diselaraskan oleh Pejabat Bahagian NREB Sibu dan Bintulu.

Menurut beliau, peningkatan aktiviti pembangunan, keluasan kawasan serta keperluan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap menjadikan penubuhan pejabat khusus di Kapit satu keperluan.

Jack turut menegaskan bahawa pembukaan pejabat itu akan mengukuhkan kerjasama antara NREB dengan agensi dan jabatan kerajaan lain di Kapit bagi mempertingkat penyelarasan berkaitan isu alam sekitar, pematuhan syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), selain memperkukuh usaha perlindungan alam sekitar demi pembangunan mampan.

"Diharap Pejabat Bahagian NREB Kapit akan terus menyumbang ke arah pencapaian objektif strategik NREB melalui pengukuhan pemantauan alam sekitar, peningkatan tahap pematuhan, keberkesanan penguatkuasaan serta penyampaian perkhidmatan berkualiti," tambah beliau.

Pejabat Bahagian NREB Kapit mula beroperasi pada 1 Julai 2024 dengan enam kakitangan sebelum jumlah itu meningkat kepada 12 orang pada tahun ini sejajar dengan pertambahan skop tugas dan keperluan operasi.

Hadir sama ialah Ketua Pejabat Bahagian Kapit Edmund Macmiller dan Penolong Kanan Pegawai Kawalan Alam Sekitar Bakar Sirai.


BACK