Kuching, 14 Julai 2026 – Pejabat Natural Resources and Environment Board (NREB) Bahagian Kuching dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau telah menganjurkan Roadshow Promosi Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) secara dalam talian menerusi platform Google Meet bagi menggalakkan penubuhan Kelab PALS di sekolah-sekolah di bawah PPD Bau.
Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat NREB Bahagian Kuching itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 26 wakil sekolah daripada 31 buah sekolah di bawah PPD Bau yang masih belum mendaftarkan Kelab PALS. Turut hadir ialah Puan Chung Sok Lian, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Bau, bersama guru-guru penyelaras kokurikulum dan guru penasihat kelab dari pelbagai sekolah rendah di daerah tersebut.
Antara sekolah yang mengambil bahagian termasuk SK Podam, SK Grogo, SK St Stephen, SK Tembawang, SK Serabak, SJK Chung Hua Sebuku, SK Serasot, SK Segubang, SJK Chung Hua Keranji, SK St Teresa Bau, SJK Chung Hua Musi, SK St Patrick Bau serta sekolah-sekolah lain di sekitar daerah Bau.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh ECO Nurfarahin binti Yusop @ Ghazali, diikuti ucapan penghargaan oleh Puan Chung Sok Lian. Taklimat utama mengenai promosi Kelab PALS serta proses pendaftaran melalui sistem e-PALS telah disampaikan oleh SAECO Wan Ridzuan bin Wan Laila Abdul Rahman. Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi penjelasan kepada para guru berkaitan pelaksanaan dan pengurusan Kelab PALS di sekolah.
Melalui program ini, pihak NREB memperkenalkan sistem e-PALS serta memberikan penerangan dan demonstrasi mengenai tatacara pendaftaran kelab. Para peserta turut dimaklumkan mengenai kepentingan Kelab PALS sebagai platform untuk memupuk kesedaran alam sekitar, membentuk amalan lestari dan memperkasakan pendidikan alam sekitar dalam kalangan murid.
Pihak NREB turut menyatakan komitmen untuk terus memberikan bimbingan serta khidmat nasihat kepada pihak sekolah sepanjang proses penubuhan dan pelaksanaan aktiviti Kelab PALS. Hasil daripada roadshow ini, PPD Bau bersama sekolah-sekolah yang hadir telah menyatakan komitmen untuk mendaftarkan Kelab PALS di sekolah masing-masing selaras dengan aspirasi NREB untuk mencapai pendaftaran 100 peratus Kelab PALS di sekolah seluruh Sarawak menjelang tahun 2027.





