Kuching, 19 Julai 2026 – Natural Resources and Environment Board (NREB) telah berjaya menganjurkan Kursus 4x4 Off-Road Driving Skills pada 18 hingga 19 Julai 2026 di UCSI Hotel dan Sungai Rayu bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kompetensi peserta dalam mengendalikan kenderaan pacuan empat roda (4x4) secara selamat dan berkesan.
Seramai 22 pemandu kenderaan daripada Ibu Pejabat NREB dan Pejabat NREB Bahagian telah menyertai kursus yang menggabungkan sesi teori dan latihan praktikal. Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada pengenalan sistem pacuan empat roda (4WD), penggunaan gear dan mod pemanduan yang betul, teknik mendaki dan menuruni bukit, pemanduan di laluan berlumpur, berbatu dan sungai, pemilihan laluan yang selamat, serta teknik asas pemulihan kenderaan dan penggunaan peralatan keselamatan.
Melalui latihan yang dijalankan, peserta berjaya meningkatkan keyakinan dan kecekapan dalam mengendalikan kenderaan 4x4 di kawasan mencabar, di samping memperkukuhkan pemahaman terhadap aspek keselamatan, pengurusan risiko dan penjagaan aset jabatan. Pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh diharap dapat diaplikasikan dalam tugasan harian, khususnya bagi pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam operasi lapangan, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan NREB yang lebih cekap, selamat dan profesional.








