Sri Aman, 26 Jun 2026 Jumaat - Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Bahagian Betong telah menganjurkan siri Roadshow Promosi Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di sekolah-sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dari 23 hingga 26 Jun 2026. Program ini melibatkan lawatan ke lima buah sekolah, iaitu SK Sedarat pada 23 Jun, SK Batang Ai dan SK Sebangki pada 24 Jun, SK San Semanju pada 25 Jun, serta SK Ridan pada 26 Jun 2026.
Roadshow ini bertujuan mempromosikan dan menggalakkan sekolah-sekolah di bawah PPD Lubok Antu untuk memohon Geran Pendaftaran Kelab PALS dan Geran Projek PALS. Selain itu, pihak NREB turut membentangkan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkukuh pendidikan alam sekitar serta memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
Antara pengisian utama program ialah pengenalan sistem e-PALS yang dibangunkan bagi memudahkan pihak sekolah menguruskan permohonan geran secara dalam talian. Melalui sistem ini, sekolah dapat mengemukakan permohonan, memuat naik dokumen sokongan, menyemak status permohonan serta menghantar laporan pelaksanaan projek dengan lebih sistematik dan efisien.
Program ini telah dikendalikan oleh pegawai NREB Bahagian Betong, iaitu AECO Mohd. Syafiq bin Abdul Majid dan Cik Nilly Betsy Anak Kalom. Roadshow ini mendapat sambutan yang amat positif daripada pihak sekolah dan diharapkan dapat meningkatkan penyertaan sekolah dalam Kelab PALS serta memperkukuhkan pelaksanaan program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di Sarawak.







