Betong, 23 Jun 2026 Selasa - Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak melalui Pejabat Wilayah Betong telah menganjurkan Majlis Pelancaran Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin, Betong pada 22 Jun 2026. Program ini bertujuan memupuk kesedaran, tanggungjawab dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan murid sekolah.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh seramai 59 orang guru dan staf sekolah, 657 orang murid serta En. Lim Yang Yang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong. Turut hadir mewakili NREB ialah AECO Mohd Syafiq bin Abdul Majid, EA Asyran Zharif bin Mos dan Cik Nilly Betsy anak Kalom.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti bacaan doa serta ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Beladin, En. Haji Zariman bin Haji Ali. Perasmian Kelab PALS kemudiannya disempurnakan oleh wakil NREB Betong, diikuti penyampaian cenderahati kepada tetamu jemputan.
Bagi memeriahkan program, pertandingan mewarna bertemakan alam sekitar telah diadakan untuk murid Tahap 1 dan Tahap 2. Aktiviti ini berjaya meningkatkan kesedaran alam sekitar, merangsang kreativiti, memperkukuh kemahiran motor halus serta memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan murid. Program ini diharapkan menjadi platform berterusan dalam melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.





