Disediakan: Jonnie Kiew, Foto: Ibanez Jeffery Guang
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju secara prinsip untuk menyediakan insentif kepada sekolah-sekolah yang menyertai Program Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di bawah inisiatif Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) sebagai usaha memperkukuh pendidikan dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluaskan penubuhan kelab alam sekitar di seluruh negeri bagi memupuk budaya pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar sejak di bangku sekolah.
Menurut beliau, program yang digerakkan oleh NREB itu perlu terus diperkasa sehingga mencapai sasaran melibatkan kira-kira 1,400 sekolah di seluruh Sarawak.
“Mana-mana sekolah yang membuka kelab berkenaan, kita akan menyalurkan sedikit insentif kepada mereka bagi membantu membiayai pelaksanaan aktiviti berkaitan pemuliharaan alam sekitar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan NREB di sini, pada Jumaat.
Walaupun tidak mendedahkan jumlah insentif yang bakal disalurkan, beliau menegaskan usaha menyemai kesedaran alam sekitar sejak usia muda amat penting bagi memastikan generasi akan datang terus menghargai serta memelihara khazanah alam semula jadi Sarawak.
“Saya bersetuju secara prinsip cadangan ini manakala jumlahnya akan kita usahakan nanti kerana ada pepatah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya.
“Jadi kita hendak ‘melenturkan’ alam sekitar biarlah bermula dari kecil lagi,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti alam sekitar sebagai platform terbaik untuk membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap pemuliharaan sumber semula jadi dan kelestarian pembangunan negeri pada masa hadapan.-EDISI UKAS




