Disediakan: Jonnie Kiew, Foto: Ibanez Jeffery Guang
KUCHING 19 Jun 2026 Jumaat - Pengiktirafan Sarawak sebagai sebuah ‘petro-electro state’ meletakkan negeri ini sebagai antara destinasi strategik bagi pembangunan teknologi baharu dan peralihan tenaga masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengiktirafan tersebut diberikan berikutan kekuatan Sarawak dalam memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar serta sumber gas asli yang mampu menjana bekalan tenaga secara mampan.
“Hanya terdapat beberapa tempat di dunia yang mendapat pengiktirafan sedemikian dan Sarawak merupakan salah satu daripadanya kerana tenaga memainkan peranan yang amat penting dalam proses perindustrian, bermula dengan penggunaan arang batu dan enjin stim, kemudian beralih kepada bahan api fosil, dan kini dunia sedang menuju ke arah tenaga boleh diperbaharui.
“Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampu menjana bekalan elektrik di samping kita juga mempunyai sumber gas yang turut menjadi sumber penting dalam penghasilan tenaga,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan negara pengeluar minyak di Timur Tengah sering dikategorikan sebagai ‘petro-state’, manakala negara maju seperti Jepun dan China pula dikenali sebagai ‘electro-state’ yang bergantung kepada bekalan elektrik untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Namun, katanya, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri apabila menggabungkan kedua-dua kekuatan tersebut sehingga melayakkannya digelar sebagai ‘petro-electro state’.
Tambah beliau, kelebihan sumber tenaga dan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki negeri ini turut menarik minat ramai saintis serta pakar antarabangsa untuk datang ke Sarawak bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi baharu.
“Oleh kerana itu, kita menerima ramai saintis dari luar negara yang datang ke sini dan melihat kemungkinan untuk berkongsi pengetahuan mereka dari segi teknologi baharu,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali dan Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam. -EDISI UKAS








