Enam Agensi Perintis Terima Sijil Pengiktirafan Cemerlang SACSES

Posted on 10 May 2026
Source of News: UKAS
Enam Agensi Perintis Terima Sijil Pengiktirafan Cemerlang SACSES

KUCHING 9 Mei 2026 : Enam agensi perintis menerima sijil pengiktirafan cemerlang Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) sebagai penghargaan terhadap komitmen dalam memperkukuh budaya kerja sistematik, lestari dan berkualiti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.

Pengiktirafan tersebut melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Mahkamah Bumiputera Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Limbang serta Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU).

Penyampaian pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengarah STIU kepada lima agensi yang lain yang turut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dalam Majlis Anugerah Mini Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) 2026 Peringkat Jabatan Premier Sarawak di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), di sini, pada Sabtu.

SACSES merupakan inisiatif strategik Kerajaan Sarawak yang diperkenalkan bagi menggantikan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam usaha memperkukuh persekitaran kerja yang lebih sistematik, lestari dan beridentiti Sarawak.

Inisiatif tersebut diterajui oleh STIU, Jabatan Premier Sarawak yang turut berperanan sebagai sekretariat dan badan pensijilan rasmi bagi pelaksanaan SACSES di seluruh agensi kerajaan negeri.

Melalui pendekatan SACSES, agensi kerajaan digalakkan membudayakan amalan kerja berkualiti termasuk pengurusan sumber secara berhemah, penerapan amalan hijau, pemerkasaan integriti organisasi serta pembangunan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat.

Selain memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dan kekemasan pejabat, SACSES turut menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penggunaan elemen visual yang sistematik serta penambahbaikan berterusan dalam pengurusan organisasi.

Selain menyokong teras Ease of Doing Business di bawah PCDS 2030, SACSES turut mendukung agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pengurusan sumber secara bertanggungjawab, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan institusi awam yang efektif serta berintegriti.

Pelaksanaan SACSES merangkumi dua komponen utama iaitu Struktur Tadbir Urus serta Pelaksanaan Amalan dan Pembudayaan.

Komponen Struktur Tadbir Urus memberi fokus kepada penubuhan Jawatankuasa Pengurusan SACSES, penyediaan dokumentasi asas dan penyelarasan pelaksanaan secara sistematik di peringkat agensi.

Sementara itu, komponen Pelaksanaan Amalan dan Pembudayaan menekankan amalan kerja teratur, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penggunaan elemen visual yang sistematik, pembudayaan nilai integriti serta penerapan elemen kelestarian dalam pengurusan tempat kerja.

Dalam masa sama, STIU turut diiktiraf sebagai badan pensijilan rasmi bagi inisiatif transformasi dan inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak yang meliputi pembangunan piawaian pensijilan, pelaksanaan audit, pemantauan berkala, pengurusan proses pensijilan serta penyediaan latihan dan sokongan teknikal kepada agensi.

Secara keseluruhannya, SACSES dijangka memberi impak positif terhadap peningkatan produktiviti organisasi, pengukuhan imej korporat agensi, pengurangan pembaziran sumber serta peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. -EDISI UKAS

Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz, Gambar: Ibanez Jeffery


BACK

 

page_footer

Best viewed with Firefox, Google Chrome in 1920 x 1080 screen resolution.
© Copyright of Natural Resources And Environment Board Sarawak
Last Updated On 12 May 2026

Operation Hours:
Monday - Thursday
8:00 am - 1:00 pm & 2:00 pm - 5:00 pm
Friday
8:00 am - 11:45 am & 2:30 pm - 5:00 pm

Payment Counter:
Monday - Thursday
8:30 am - 12:30 noon & 2:00 pm - 3:00 pm
Friday
8:30 am - 11:00 am & 2:30 pm - 3:00 pm

* Close on Saturday, Sunday and Public Holiday

iso eia
image Announcement
image Polls