KUCHING, 8 April — Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB Sarawak) terus memperkukuh peranan dalam tadbir urus alam sekitar apabila menerima kunjungan rasmi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu sesi libat urus strategik di Pullman Hotel Kuching.
Sesi ini menjadi platform penting bagi menilai tahap kesediaan Sarawak terhadap sembilan perkara utama berkaitan pengurusan buangan terjadual, selaras dengan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Hasil perbincangan dimuktamadkan melalui pemeteraian Record of Discussion (ROD) antara NRES dan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) Sarawak. ROD tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam merealisasikan penurunan kuasa autonomi kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus memperkukuh peranan NREB sebagai peneraju tadbir urus alam sekitar negeri.
Majlis pembukaan disempurnakan oleh Datu Haji Abdullah bin Julaihi, Setiausaha Tetap MUDeNR, manakala Datuk Nor Yahati Awang, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES turut hadir.
Turut serta ialah Controller NREB, Datu Jack anak Liam, wakil NRES, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, serta wakil agensi berkaitan termasuk SAGC, HRDMU, MUDeNR dan MEESty.
Sesi ini menandakan satu langkah penting ke arah penyelarasan dasar dan pengukuhan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam pengurusan buangan terjadual yang lebih efektif dan mampan.






