PADAWAN, 29 April 2026 — Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) telah dirasmikan di SK St Patrick Semadang dalam satu majlis yang melibatkan penyertaan guru, kakitangan sekolah serta seramai 68 murid.
Majlis perasmian disempurnakan oleh wakil Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB Sarawak), SAECO Alvin Martin Geris, yang menekankan kepentingan pendidikan awal dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Turut hadir sebagai tetamu jemputan ialah Pn. Nor Hanum (Guru Besar SK Taba Sait), En. Muller (YDP PIBG SK St Patrick), En. Andrew Victor Nub dari Era Sureway Sdn. Bhd., Cr. Tito Grabo Teyok (Ahli Majlis Perbandaran Padawan), serta Reverend Evriston Kisau Sereka, Vicar of All Saints Church, BRS.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK St Patrick, En. Kelvin Govindaraj Krishnan. Program turut diserikan dengan ceramah bertajuk Environmental Sustainability in the Oil & Gas Industry yang disampaikan oleh En. Andrew Victor Nub.
Antara pengisian lain termasuk pelancaran simbolik Kelab PALS melalui tayangan video, penyampaian hadiah pertandingan melukis dan mewarna poster “Cintai Sungai”, serta penyampaian sijil dan cenderamata kepada para peserta.
Sebagai usaha memupuk amalan hijau, aktiviti penanaman pokok turut dijalankan di Taman Kelab PALS. Para hadirin juga berpeluang melawat Sudut Kelab PALS dan Sudut Geopark sebelum majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan NREB Sarawak dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar.








