Oya, 9 April 2026 Khamis – Program Community Outreach Program (COP) 2026 anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Bahagian Mukah telah berjaya dilaksanakan di Dewan Masyarakat Oya, Daerah Kecil Oya dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk NREB Sarawak, Sarawak Energy Berhad, Jabatan Kesihatan Bahagian Mukah, Majlis Daerah Dalat Mukah serta Jabatan Alam Sekitar Cawangan Sibu. Turut terlibat ialah pasukan dari NREB Mukah Divisional, Environmental Education Division (EED) Ibu Pejabat dan Corporate Affairs Unit (CAU) Ibu Pejabat.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program, antaranya pameran agensi, sesi ceramah oleh NREB Mukah, EED Ibu Pejabat dan Jabatan Pertanian, demonstrasi pemadaman kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah, serta saringan kesihatan percuma oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Mukah. Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan dengan sumbangan daripada Sarawak Energy Berhad.
Seramai 250 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada komuniti Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya. Kehadiran melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin tempatan seperti Temenggung, Kaunselor, Penghulu, Ketua Kampung, Tuai Rumah serta penduduk kampung sekitar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Dalat, Tuan Mathew bin Hubert, yang mewakili Yang Berhormat Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.56 Dalat.






