Tetamu jemputan dan peserta merakamkan kenangan selepas Sesi Libat Urus dengan Pemegang Taruh untuk memperkenalkan 'Garis Panduan Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas, 2025' di Kuching baru-baru ini.
KUCHING 1 Nov 2025 - Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen teguh untuk menangani cabaran perubahan iklim melalui pelaksanaan dasar dengan memperkenalkan Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas, 2025.
Peraturan yang berkuat kuasa hari ini bertujuan mengawal serta mengurangkan pembakaran rutin dan pelepasan gas rumah kaca dalam sektor minyak dan gas, termasuk di kemudahan darat dan luar pesisir.
Menurut kenyataan NREB, komitmen itu sejajar dengan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca), 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024, menyediakan asas undang-undang bagi peralihan Sarawak menuju pencapaian pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ordinan ini memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal pelepasan gas rumah kaca (GHG) di seluruh sektor ekonomi yang dijadualkan.
“Bagi memperkukuhkan kerangka ini, Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas, 2025 memperkenalkan kawalan ketat terhadap pembakaran dan pelepasan gas petroleum serta gas rumah kaca di kemudahan darat dan laut.
“Di bawah peraturan ini, pengendali dikehendaki memperoleh kebenaran awal daripada Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak sebelum menjalankan sebarang aktiviti berkenaan mengikut Seksyen 5 Ordinan,” menurut NREB.
Bagi menyokong inisiatif ini, NREB telah mengadakan Sesi Libat Urus dengan Pemegang Taruh untuk memperkenalkan 'Garis Panduan Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas, 2025,' iaitu kerangka pengawalseliaan utama yang berkuat kuasa hari ini.
Susulan itu, satu sesi diadakan pada 22 Oktober lepas di sebuah hotel terkemuka di sini yang menghimpunkan wakil-wakil daripada industri minyak dan gas, sektor tenaga serta rakan strategik utama lain.
Antara yang hadir termasuk Kontroler NREB Sarawak Datu Jack Liam, wakil Pejabat Peguam Negara Negeri (SAGC) Khairul Kabir Abdul Kadir, wakil Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) Elizabeth Nyomek dan 20 wakil daripada entiti perniagaan.
Dalam ucapan alu-aluan, Jack berkata sehingga kini, sejumlah 18 entiti perniagaan dari sektor minyak dan gas serta satu entiti dari sektor tenaga telah mendaftar dengan NREB.
Katanya, ia mencerminkan komitmen kuat dan pematuhan proaktif pemain industri utama dalam menyelaraskan operasi mereka dengan kerangka peraturan negeri dan objektif perubahan iklim.
“Sesi ini mempunyai dua tujuan iaitu menjelaskan keperluan utama dan berinteraksi secara proaktif dengan pemegang taruh, mengumpul maklum balas mereka, menangani kebimbangan serta mengintegrasikan pandangan bernilai mereka,” katanya.
Katanya, NREB percaya sumbangan itu adalah penting.
“Ia membantu kami merangka garis panduan yang bukan sahaja praktikal dan adil, tetapi juga berkesan, sekali gus memastikan ordinan baharu ini dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya. - Utusan Borneo