oleh Mastura Ismail
(Dari kanan) Ramlan ketika memberi taklimat kepada Khirudin pada lawatan Operasi Pemadaman Kebakaran Gambut di Banting Lawas, kelmarin dan turut kelihatan Azman.
LAWAS 5 Mac 2024 - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak mengenal pasti beberapa kawasan panas yang berisiko berlakunya kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini.
Pengarah JBPM Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, antara kawasan itu membabitkan Sri Aman, Baram di Miri dan utara Sarawak khususnya di daerah Limbang dan Lawas.
Jelasnya, kawasan-kawasan ini dikenal pasti hasil pengalaman yang dilalui pihaknya membabitkan kebakaran besar hutan dan tanah gambut pada 2018 dan 2019.
“Kalau kita lihat berdasarkan kebakaran besar pada 2018 dan 2019 di Sarawak melibatkan banyak kawasan seperti Sri Aman, Baram di Miri serta utara Sarawak di Limbang dan Lawas.
“Kita mempunyai banyak kawasan besar tanah gambut dan apabila kita kenal pasti kita buat advokasi,” katanya ketika ditemui media pada lawatan kerja ke Operasi Pemadaman Kebakaran Gambut di Banting Lawas dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, semalam.
Turut hadir pada progran itu ialah Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan, Ketua BBP Lawas Azman Ibrahim, Ketua BBP Limbang Chong Bui Chyan, Pegawai Penyiasat Kebakaran Zon Tujuh Limbang Clarence D. Primus Tiandun dan Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan.
Jelasnya lagi, pihaknya terus meningkatkan advokasi bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak khususnya bagi menangani kejadian kebakaran di luar jangka.
Katanya lagi, kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak antara faktor utama dikenal pasti sebagai punca kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini terutama di bahagian utara.
Kata Khirudin, terdapat segelintir pihak yang sengaja melakukan pembakaran secara terbuka sehingga mencetuskan kebakaran hutan dan tanah gambut.
Jelasnya, kes kebakaran hutan boleh menyebabkan aset-aset pemadaman ditumpukan kepada satu tempat sehingga menyebabkan kesukaran apabila berlaku kebakaran struktur di bandar dalam tempoh yang sama.