Pembangunan Sarawak Ambil Kira Kelestarian Alam Sekitar

Posted on 07 Dec 2023
Source of News: EDISI UKAS

KUCHING, 6 Disember 2023 Rabu: Usaha membangunkan Sarawak pada masa kini mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, aspek ini memastikan pertumbuhan ekonomi selaras dengan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab serta menggabungkan perancangan untuk penyesuaian dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Menurutnya, tindakan untuk meningkatkan ekonomi negeri sangat penting agar dapat melanjutkan agenda pembangunan yang dirancang demi kesejahteraan penduduk Sarawak di mana komitmen terhadap pembangunan seimbang dicerminkan dengan mantap melalui inisiatif alam sekitar yang dilaksanakan.

“Semasa kita memasuki perjalanan ke arah masa depan yang lebih lestari dan hijau, kita perlu menghadapi cabaran perubahan iklim global yang juga dikenali sebagai pemanasan global.

“Isu ini tidak mengenal sempadan, ia memberi kesan kepada kita semua dan merupakan satu cabaran yang diakui oleh anugerah ini (Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak) sebagai seruan untuk bertindak.

“Kita dapat menyaksikan kesannya di depan mata, dengan kejadian cuaca yang lebih kerap dan teruk serta peningkatan paras laut yang mengancam kawasan pantai kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) Ke-11 2023/2024 di Kuching, pada Rabu.

Datuk Len menambah, salah satu pendorong utama krisis alam sekitar adalah peningkatan berterusan dalam paras karbon dioksida (CO2) di atmosfera yang sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti seperti pembakaran bahan api fosil dan pelepasan kenderaan.

“Anugerah ini tidak hanya mengakui pencapaian dalam alam sekitar tetapi juga melambangkan tanggungjawab moral kita.

“Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dengan segera menyeru untuk tindakan bersama dalam mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius, ambang kritikal untuk mengelakkan kesan bencana.

“Jika kita tidak dapat mengekalkan angka 1.5 (darjah Celsius), hampir separuh daripada negeri ini akan berada di bawah air menjelang akhir abad ini iaitu kira-kira 70 tahun dari sekarang dan itulah sebabnya kita perlu mengawal kenaikan suhu menjelang tahun 2050,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam PSEA yang mempromosikan budaya keprihatinan alam sekitar sejajar dengan visi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak iaitu ‘Sarawak Hijau, Bersih dan Sihat’ untuk manfaat generasi kini dan akan datang.

Turut hadir, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Induk PSEA Ke-11 2023/2024, Jack Liam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak, Dato Jonathan Chai dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal merangkap Hakim Panel PSEA Ke-11 2023/2024, Prof. Ts. Dr. Shanti Faridah Salleh.



Best viewed with Firefox, Google Chrome in 1920 x 1080 screen resolution.
© Copyright of Natural Resources And Environment Board Sarawak
Last Updated On 22 Oct 2024

Operation Hours :

Monday - Thursday
8:00 am - 1:00 pm & 2:00 pm - 5:00 pm
Friday
8:00 am - 11:45 am & 2:30 pm - 5:00 pm

Payment Counter :

Monday - Thursday
8:30 am - 12:30 noon & 2:00 pm - 3:00 pm
Friday
8:30 am - 11:00 am & 2:30 pm - 3:00 pm

* Close on Saturday, Sunday and Public Holiday
image Announcement