Jerebu: NREB Sarawak ambil pelbagai langkah proaktif

Posted on 02 Oct 2023
Source of News: Sarawak News

KUCHING, 30 September 2023: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani krisis jerebu yang melanda negeri ini.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) Dr. Hazland Abang Hipni, langkah proaktif telah diambil bagi memastikan kualiti udara terjamin.

Antara langkah yang diambil termasuk mengaktifkan bilik operasi khas untuk mengendalikan isu jerebu dengan lebih efektif.

Selain itu, pemberian permit pembakaran terbuka secara terkawal telah dihentikan sementara untuk mengurangkan risiko pencemaran udara.

Langkah proaktif lain yang diambil adalah membatalkan permit pembakaran terbuka yang sebelumnya telah dikeluarkan.

NREB juga telah mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek sebagai langkah pencegahan.

NREB turut bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam menjalankan program kesedaran mengenai larangan pembakaran terbuka bagi memastikan kualiti udara terjaga,” katanya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur 1 di sini pada Jumaat.

Selain itu, Dr. Hazland menambah, NREB dan Jabatan Alam Sekitar juga sedang mengadakan program rondaan di lapangan untuk memastikan tiada aktiviti pembakaran terbuka dijalankan.

Dalam perkembangan lain, beliau juga memaklumkan MEESty telah mengambil tindakan dengan mengemukakan satu memorandum kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk memberi maklum berkenaan fenomena jerebu rentas yang berlaku di Sarawak.

Ujar beliau, kementeriannya turut mencadangkan supaya Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu membawa isu berkenaan ke Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN bagi mencari langkah penyelesaian masalah jerebu rentas sempadan di rantau ini.

Sementara itu, beliau mendedahkan, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) melalui kenyataan yang dikeluarkan pada 28 September 2023, meramalkan keadaan kering akan berterusan di wilayah-wilayah berdekatan seperti di bahagian selatan dan tengah Kalimantan serta terdapat risiko peningkatan titik-titik panas (hot spot) dan asap jerebu di kawasan mudah terbakar tersebut.

Dalam pada itu, katanya lagi, ASMC juga melaporkan bagi tempoh 20 hingga 28 September 2023, sejumlah empat titik panas telah dikesan di Sarawak, manakala sejumlah 2,203 titik panas pula telah dikesan di Kalimantan.

Bilangan tertinggi titik panas di Kalimantan telah dikesan pada 28 September iaitu sebanyak 561 titik panas. Ini mungkin telah menyebabkan keadaan jerebu rentas sempadan berlaku di bahagian selatan Sarawak termasuk Kuching yang dibawa oleh tiupan angin dari arah Kalimantan,” ujar Dr. Hazland.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu juga memberitahu, tren Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak sepanjang tempoh Januari 2023 sehingga 28 September 2023 berstatus di dalam lingkungan tahap baik sehingga tidak sihat.

Pada 27 September 2023, Bahagian Sri Aman mencatat bacaan IPU tidak sihat (136) manakala pada 28 September 2023, tiga bahagian mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Bahagian Samarahan (148), Bahagian Sri Aman (105) dan Bahagian Serian (156).

Namun pada pagi tadi, bacaan IPU bagi keempat-empat kawasan ini telah berada di bawah 100 iaitu Kuching (81), Samarahan (85), Sri Aman (79) dan Serian (96),” jelasnya.



Best viewed with Firefox, Google Chrome in 1920 x 1080 screen resolution.
© Copyright of Natural Resources And Environment Board Sarawak
Last Updated On 22 Oct 2024

Operation Hours :

Monday - Thursday
8:00 am - 1:00 pm & 2:00 pm - 5:00 pm
Friday
8:00 am - 11:45 am & 2:30 pm - 5:00 pm

Payment Counter :

Monday - Thursday
8:30 am - 12:30 noon & 2:00 pm - 3:00 pm
Friday
8:30 am - 11:00 am & 2:30 pm - 3:00 pm

* Close on Saturday, Sunday and Public Holiday
image Announcement