TANJUNG MANIS, 29 September 2026 – Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam Penjagaan Alam Sekitar ke Arah Pembangunan Mampan Daerah Tanjung Manis 2026 telah berjaya dianjurkan di Kompleks Industri Perabot PUSAKA Tanjung Manis (KIPPTM), dengan penyertaan kira-kira 350 orang peserta.
Seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan KMKK mengenai perundangan, dasar, garis panduan serta tanggungjawab bersama dalam pengurusan alam sekitar bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang mampan. Program ini turut menjadi platform perkongsian maklumat mengenai peluang pembangunan, bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak. Turut hadir ialah YBhg. Datu Jack anak Liam, Controller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, serta wakil agensi kerajaan dan sektor swasta.
Antara pengisian utama seminar ialah ceramah mengenai peranan KMKK dalam menyokong kelestarian alam sekitar, pencegahan kebakaran tanah gambut dan pembakaran terbuka, pemeliharaan biodiversiti, serta pelbagai inisiatif pembangunan komuniti. Program turut merangkumi pameran dan perkongsian maklumat agensi, saringan kesihatan, Jualan Rahmah serta demonstrasi keselamatan kebakaran.
Seminar ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk NREB Ibu Pejabat dan pejabat bahagian, Pejabat Daerah Tanjung Manis, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Sarawak Energy Berhad, Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi kerajaan dan sektor swasta yang lain.
Penganjuran seminar ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab, di samping memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.








