Jerebu Sarawak bertambah baik, hanya Samarahan sangat tidak sihat

Posted on 08 Sep 2026
Source of News: Utusan Borneo
oleh Agnes Tugong, 7 September 2026, Isnin
 Jerebu Sarawak bertambah baik, hanya Samarahan sangat tidak sihat
Pemandangan sekitar Kota Samarahan, baru-baru ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak bertambah baik setakat jam 8 pagi ini apabila hanya Samarahan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Samarahan merekodkan bacaan IPU 226, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan di negeri ini dalam kategori berkenaan.

Sementara itu, kawasan lain masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Sarikei (194), IPD Serian (193), Kuching (192), Sibu (183), Sri Aman (183), Mukah (182), Samalaju (179), Bintulu (172), ILP Miri (169), Miri (166) dan Limbang (149).

Kapit pula merekodkan bacaan IPU 92, sekali gus berada pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat dan 51 hingga 100 pada tahap sederhana. 

Perkembangan pagi ini menunjukkan keadaan kualiti udara di Sarawak bertambah baik berbanding tempoh sebelumnya, ketika beberapa kawasan termasuk Serian, Kuching dan Samarahan pernah merekodkan bacaan pada tahap berbahaya.


BACK