PAKAN, 25 Nov — Majlis pelancaran Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di SK Nanga Wak berlangsung di Dewan Terbuka sekolah dengan kehadiran 123 murid, 23 guru dan 44 ibu bapa. Program ini turut dihadiri pegawai NREB, ECO Ezzah Nawawi dan SEA Tony anak Nira. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti bacaan doa serta ucapan alu-aluan oleh Guru Besar. Wakil NREB seterusnya menyampaikan ucapan perasmian sebelum taklimat dan tayangan video disampaikan, memberi pendedahan mengenai tujuan, matlamat, aktiviti Kelab PALS, serta sejarah kelab tersebut kepada warga sekolah.
Gimik perasmian kelab dijalankan diikuti penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna Poster Sayangi Alam Sekitar serta upacara menandatangani memorandum persefahaman bagi mengukuhkan komitmen sekolah terhadap pendidikan alam sekitar. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran murid, guru, dan ibu bapa tentang kepentingan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti interaktif dan simbolik.
Laporan oleh ECO Ezzah Nawawi




