LIMBANG, 18-20 Nov - Program Perkhemahan Eco Warrior peringkat daerah Limbang telah diadakan di SK ST. Edmund dengan penyertaan seramai 72 murid dan 45 guru daripada lima buah sekolah, iaitu SK ST. Edmund, SK Kubong, SK RC Kubong, SK Menuang dan SK Kuala Penganan. Pegawai NREB yang terlibat ialah AECO Jeslin Kanady, EA Calvet Bryant ak Morin dan PK Mohamad Ihsan Bin Pangis. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pemeliharaan alam sekitar, pengurusan sumber semula jadi secara berhemah, memupuk kerjasama dan kepimpinan, serta membentuk agen perubahan Eco-Warrior di sekolah dan komuniti.
Antara pengisian utama program termasuk taklimat PALS dan perkongsian aktiviti NREB, permainan dan kuiz alam sekitar, aktiviti orienteering menggunakan cone, serta malam kebudayaan bagi memupuk kreativiti dan pemikiran kritis murid melalui aktiviti berkumpulan. Majlis penutupan program disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Benjamin Yeo Ee Seng, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Limbang. Program ini berjaya menyediakan platform interaktif untuk murid mengamalkan nilai kelestarian dan kepimpinan dalam suasana sebenar.






