SIBU, 20 Nov — Majlis pelancaran Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di SK Kampung Bahagia Jaya berlangsung di Dewan Sri Bahagia dengan kehadiran 25 murid dan 11 guru. Program ini turut dihadiri pegawai NREB, ECO Ezzah Nawawi dan SEA Tony anak Nira. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti bacaan doa serta ucapan alu-aluan oleh Guru Besar sekolah. Wakil NREB seterusnya menyampaikan ucapan perasmian sebelum taklimat dan tayangan video disampaikan, memberi pendedahan mengenai tujuan, matlamat serta aktiviti Kelab PALS dan sejarahnya kepada warga sekolah.
Program diteruskan dengan gimik perasmian melalui aktiviti menanam pokok bunga, diikuti lawatan ke tempat pengumpulan barang kitar semula yang akan dijadikan hiasan di sekitar kawasan sekolah. Pelancaran ini bertujuan meningkatkan kesedaran murid tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti kreatif dan interaktif.
Laporan oleh Ezzah Nawawi



