SARIKEI, 17 Nov — Majlis Perasmian Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di SK Sg. Petai berlangsung meriah dengan penyertaan 46 murid dari Prasekolah hingga Darjah 6 serta 14 orang guru. Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi itu turut disertai pegawai dari NREB Sibu, iaitu AECO Anelka Frankie, SEA Saiful Haizam dan PKA Kendawang Lepang.
Majlis pelancaran ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran yang bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah pada masa akan datang.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti penyampaian hadiah bagi Pertandingan Menulis Esei Alam Sekitar dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta Pertandingan Kebersihan Kelas. Perasmian Kelab PALS SK Sg. Petai disempurnakan melalui gimik pelancaran yang turut disaksikan murid, guru dan wakil PIBG.
Majlis diteruskan dengan lawatan ke ‘Mini Garden’ SK Sg. Petai yang dibangunkan hasil kerjasama pihak sekolah dan PIBG, sebagai salah satu usaha memupuk budaya mencintai alam sekitar dalam kalangan murid.
Laporan oleh Anelka Frankie



