SIMUNJAN, 17 Nov — EED Pejabat NREB Kuching telah dijemput sebagai penceramah dalam program 3R sempena penyerahan Pusat Kiosk 3R daripada Majlis Daerah Simunjan (MDS) kepada SK Gunong Ngeli Simunjan. Program berlangsung di Dewan SK Gunong Ngeli dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang dengan penyertaan kira-kira 80 murid Tahap 1 dan 2.
Pegawai NREB Kuching yang hadir ialah Nurfarahin binti Yusop @ Ghazali, Jerleus anak Rapo, dan Muhd Firdaus bin Tuah. Program turut disertai 5 pegawai dari MDS serta 8 orang guru SK Gunong Ngeli Simunjan.
Ceramah bertajuk Pengurusan Sisa Pepejal disampaikan bagi meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan mengasingkan sampah, menggalakkan amalan kitar semula serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran. Antara pengisian ceramah termasuk penerangan mengenai konsep 3R, penggunaan sisa organik sebagai kompos dan eco-enzyme, pengenalan kepada keburukan styrofoam, amalan hijau, selain sesi kuiz berkaitan pengurusan sisa pepejal.
Program ini bertujuan memperkukuh pendidikan awal berkaitan kelestarian alam sekitar melalui penglibatan murid, guru serta pihak berkuasa tempatan.
Laporan oleh Nurfarahin Yusop



