Kuching, 25 November 2025 – Majlis Perasmian Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) SK Jalan Arang telah diadakan dengan meriah di Dewan SK Jalan Arang, melibatkan penyertaan 110 orang murid dan 12 orang guru. Majlis turut disertai pegawai daripada NREB, iaitu ECO Ng Kai Ning, EA Billy Baling Lugak, dan EA Jerleus Anak Rapo.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Ibu Pertiwiku, sebelum ucapan alu-aluan disampaikan oleh Guru Besar SK Long Pillah, Encik Edward. Perasmian rasmi Kelab PALS kemudiannya disempurnakan oleh wakil NREB, diikuti gimik perasmian sebagai simbolik penubuhan kelab tersebut.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Membuat Landskap, sebagai penghargaan kepada kreativiti dan usaha murid dalam menghasilkan reka bentuk landskap bertema alam sekitar. Turut diadakan ialah penyampaian cenderahati kepada wakil NREB.
Acara diteruskan dengan lawatan ke tapak Taman Kelab Pencinta Alam Sekitar, yang menjadi ruang pembelajaran luar bilik darjah berkaitan penjagaan alam sekitar.
Majlis ini diharap dapat meningkatkan minat murid terhadap pemuliharaan alam sekitar serta menggalakkan aktiviti hijau di peringkat sekolah.
Laporan oleh Jerleus Anak Rapo




