Pakan, 27 November 2025 – Majlis Pelancaran Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) SK Nanga Entaih telah diadakan dengan jayanya di Dewan SK Nanga Entaih, melibatkan kehadiran 113 orang murid dan 17 orang guru. Majlis tersebut turut disertai oleh pegawai jemputan daripada NREB, iaitu ECO Doris anak Alfred Kanyi dan ECO Ezzah Nawawi.
Majlis dimulakan dengan gimik perasmian penubuhan Kelab Pencinta Alam Sekitar melalui aktiviti simbolik menanam pokok bunga sebagai tanda komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar. Seterusnya, majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Ibu Pertiwiku, diikuti dengan bacaan doa.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Guru Besar SK Nanga Entaih sebelum diteruskan dengan ucapan daripada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Julau. Majlis kemudian disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh wakil NREB.
Sebagai pengisian utama, pihak NREB turut menyampaikan taklimat dan tayangan video yang memberi perkongsian mengenai tujuan, matlamat serta aktiviti yang dilaksanakan oleh NREB termasuk sejarah penubuhan Kelab PALS. Maklumat ini membantu memberi pendedahan awal kepada murid dan guru mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang pertandingan yang telah dijalankan sempena program tersebut.
Laporan oleh Ezzah Nawawi





