KUCHING, 12 Mei 2023 - Jumaat: Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (Meesty) kini sedang mengimplementasikan struktur organisasinya yang baharu.
Timbalan Menterinya, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, terdapat tiga agensi akan berada di bawah Meesty, iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).
“Setakat ini kita hanya mempunyai lebih kurang 24 orang kakitangan bersama dengan tiga agensi yang akan berada di bawah kementerian ini.
“Agensi pertama ialah SEB, tetapi bukan seluruh SEB, hanya separuh sahaja yang terlibat iaitu dalam penjanaan kuasa seperti solar, solar terapung, hidrogen dan biofuel.
“Agensi kedua adalah Petros, dan segala urusan yang berkaitan dengan minyak dan gas.
“Manakala, agensi ketiga adalah NREB yang terlibat dengan pengawalan, pengurangan karbon dan jejak karbon,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Meesty di sini pada Jumaat.
Majlis ramah tamah Meesty yang julung kali diadakan pada tahun 2023 itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Meesty Abang Ahmad Abang Morni, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak Zulaihi Mohd Mantali, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Controller NREB Jack Liam serta wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan Sarawak. -Edisi UKAS