Tiada bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat di Sarawak – Dr Hazland

Posted on 18 Aug 2023
Source of News: TVS

Berita oleh Connie Grace, August 17, 2023

KUCHING, 17 Ogos: Tren bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk tempoh Januari hingga 16 Ogos 2023 berstatus dalam lingkungan baik dan sederhana, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.

Tidak ada bacaan IPU tidak sihat direkodkan, tegasnya.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.

“Pelbagai langkah telah diambil oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) termasuk mengaktifkan bilik operasi jerebu, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terbuka secara terkawal serta membatalkan permit pembakaran terbuka secara terkawal yang telah dikeluarkan.

“NREB juga telah mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek dan juga mengadakan program kesedaran larangan pembakaran terbuka bersama agensi-agensi lain bagi memastikan kualiti udara terjaga,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Pusat Khas Meteorologi Asean (ASMC) melaporkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, sejumlah 195 titik panas telah dikesan di Sarawak, manakala 2,820 titik panas pula dikesan di Kalimantan.

Bagi tempoh 1 hingga 15 Ogos, 77 titik panas dikesan di Sarawak manakala 2,153 telah dikesan di Kalimantan.

Bilangan titik panas tertinggi di Sarawak dikesan pada 1 Ogos iaitu 36 titik panas manakala bilangan tertinggi di Kalimantan ialah pada 5 Ogos iaitu 376 titik panas.

Pada tempoh 13-15 Ogos, tiada titik panas dikesan di Sarawak, manakala 424 titik panas dikesan di Kalimantan.

Dr Hazland berkata lagi, negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang bermula 15 Mei dan dijangka berakhir pada pertengahan September ini.

Peralihan monsun ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan sekaligus menyebabkan taburan hujan yang lebih rendah,” ujarnya.

Menurutnya, ASMC juga meramalkan keadaan kering akan berterusan di wilayah-wilayah berdekatan seperti di bahagian selatan dan tengah Kalimantan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga ketika menghadapi tempoh cuaca panas dan kering termasuk minum air dengan secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar.

Pembakaran terbuka adalah salah di bawah peruntukan Seksyen 30 (1) (a) dan Seksyen 30 (2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda, tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali. – TVS



Best viewed with Firefox, Google Chrome in 1920 x 1080 screen resolution.
© Copyright of Natural Resources And Environment Board Sarawak
Last Updated On 18 Jul 2024

Operation Hours :

Monday - Thursday
8:00 am - 1:00 pm & 2:00 pm - 5:00 pm
Friday
8:00 am - 11:45 am & 2:30 pm - 5:00 pm

Payment Counter :

Monday - Thursday
8:30 am - 12:30 noon & 2:00 pm - 3:00 pm
Friday
8:30 am - 11:00 am & 2:30 pm - 3:00 pm

* Close on Saturday, Sunday and Public Holiday
image Announcement