Bintulu, 30 April 2026 (Khamis) – NREB Sarawak telah melaksanakan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Jepak, Bintulu sebagai platform untuk meningkatkan ilmu, memupuk kesedaran serta memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti setempat dan semua pihak berkepentingan dalam usaha memelihara alam sekitar.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Iskandar bin Turkee, ADUN N.67 Jepak. Turut hadir Yang Berbahagia Datu Jack anak Liam, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk sesi ceramah oleh NREB yang menekankan tanggungjawab bersama dalam menangani isu pembakaran terbuka, kebakaran tanah gambut serta penerapan konsep ekonomi kitaran dalam kehidupan seharian.
Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu turut berkongsi kaedah pemadaman kebakaran belukar, manakala Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu menyampaikan ceramah bertajuk “Kitar Now”. Sarawak Energy Berhad pula mengadakan perkongsian bertajuk “Fire and Line Transmission”.
Turut diadakan ialah Jualan Rahmah oleh KPDNHEP serta program pembelian minyak masak terpakai oleh Green Town Eco Sdn. Bhd. Program ini juga dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah bagi menarik penglibatan komuniti setempat.
Program ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDENR) serta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), dengan kerjasama Pejabat Residen Bintulu, Pejabat Daerah Bintulu, KPDNHEP Bintulu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu.
Turut terlibat sebagai rakan strategik ialah HHA Associates, Sarawak Energy Berhad, Green Town Eco Sdn. Bhd. serta Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dalam usaha memperkukuh kesedaran dan penglibatan masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar.









