Debak, 7 Mei 2026 Khamis – NREB Sarawak telah melaksanakan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti di Dewan Perpaduan Daerah Kecil Debak, Betong sebagai platform untuk meningkatkan pengetahuan, memupuk kesedaran serta memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti setempat dan pihak berkepentingan dalam usaha memelihara alam sekitar.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Ts. Jefrin Johnny Gutuk @ Mohd. Jefrin Azlan Abdullah, Ketua Pejabat NREB Bahagian Betong, mewakili Yang Berbahagia Datu Jack anak Liam, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak. Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Mohammad Khairurani bin Mohammad Ibrahim, Penolong Pegawai Tadbir Menguasa, Pejabat Daerah Kecil Debak.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk sesi ceramah oleh NREB yang menekankan tanggungjawab bersama dalam menangani isu pembakaran terbuka, pengurusan sisa domestik dan amalan ekonomi kitaran.
Selain itu, CENTEXS Betong turut berkongsi kaedah penghasilan baja kompos, manakala Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyampaikan taklimat bertajuk “3M Buaya”. Program turut disusuli dengan taklimat serta demonstrasi keselamatan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong.
Turut diadakan ialah saringan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Debak, aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai oleh Timuran Kembangan Sdn. Bhd., serta pameran interaktif daripada NREB, DID dan SIDC. Program ini juga dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah bagi menarik penyertaan komuniti setempat.
Program ini mendapat sokongan daripada Pejabat Daerah Debak, Jabatan Kesihatan Betong, Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong, Sarawak Forestry Corporation (SFC), CENTEXS Betong, Timuran Kembangan Sdn. Bhd. dan FELCRA Berhad dalam usaha memperkukuh kesedaran serta amalan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.









