News & History

Program Jelajah Alam Sekitar Bermula Februari Ini
Posted on : 02 Feb 2022  Source of News: UKAS
 

KUCHING: Program Jelajah Alam Sekitar Sarawak bermula pada Februari ini, demikian kata Menteri Muda Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni.

Menurut beliau, program jelajah seumpamanya bertujuan mengumpulkan segala isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan melancarkan program-program berkenaan dengan alam sekitar di negeri ini.

Jelasnya, jelajah berkenaan melibatkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dari Kuching sehingga Lawas.

“Dengan adanya program-program sebegini, kita dapat membantu mencari jalan penyelesaian serta meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya menjaga alam sekitar.

“Semasa jelajah ini juga akan diadakan program-program kesedaran alam sekitar bagi komuniti, industri, belia dan murid sekolah dengan harapan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta nilai murni alam sekitar, di samping melatih masyarakat untuk melakukan amalan hijau dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, beliau menyampaikan cenderahati Tahun Baru Cina untuk kakitangan NREB kepada Kontroler NREB, Peggy Ronin Edin. -EDISI UKAS

Quick Link