News & History

The study on pollution of six rivers will be known at the end of the year
Posted on : 18 Jan 2018  Source of News: Utusan Borneo Online
 

(in bahasa Malaysia only)

KUCHING: Hasil kajian kapasiti pembawaan pencemaran air sungai di enam sungai terpilih di Sarawak dijangka diketahui pada hujung tahun ini. Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata kajian tersebut merupakan projek perintis kerajaan negeri yang dilakukan di Sungai Kemena, Sungai Sadong, Sungai Oya, Sungai Mukah, Sungai Baram dan Sungai Lassa.

Katanya kajian itu dijalankan sejak ia mula dilakukan September tahun lalu dan melibatkan peruntukan berjumlah RM8 juta daripada kerajaan negeri. “Kajian sedang dilakukan sekarang dengan sampel air sungai dan jenis pencemaran dikaji bagi mengetahui jenis dan tahap pencemaran di keenam-enam sungai ini. “Kita menjangkakan kajian ini akan selesai pada hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Peter memberitahu, hasil kajian itu akan digunakan sebagai garis panduan bagi menggubal dasar serta strategi-strategi bagi memastikan kualiti air sungai di Sarawak bebas pencemaran. Dasar dan strategi itu katanya, merangkumi penguatkuasaan undang-undang yang ketat, pemulihan, pemeliharaan, termasuk mengkaji semula peraturan sedia ada. Ia bertujuan mengelak aktiviti-aktiviti di kawasan tadahan air atau sumber air mentah berlaku yang boleh menjejaskan kualiti air sungai.

“Selain itu NREB akan melaksanakan program, strategi pemulihan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang untuk jangka panjang. “Ketika ini NREB memantau kualiti air 50 sungai utama di seluruh negeri menerusi Program Pemantauan Kualiti Air Sungai,” katanya.

Quick Link