News & History

Landslides affect water catchment on Bukit Kanada
Posted on : 12 Jan 2018  Source of News: Utusan Borneo Online
 

(in bahasa Malaysia only)

MIRI: Kawasan tadahan air di atas Bukit Kanada antara lokasi dikenal pasti turut terjejas gelongsoran tanah sejak hampir seminggu lalu. Pemantauan udara menggunakan dron oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mendapati tanda tanah runtuh di kawasan penampungan air semula jadi itu.

Gelongsoran tanah didapati berlaku di cerun curam bersudut lebih 90 darjah yang dikhuatiri akan mengakibatkan tanah runtuh yang melibatkan kawasan besar. Pemantauan dron dilakukan sejak 6 Januari lalu untuk meninjau kejadian gelongsoran tanah di keseluruhan kawasan bukit itu. Pengawasan turut melibatkan dua kampung utama iaitu Kampung Haji Wahed di atas bukit dan Kampung Lereng Bukit.

Penduduk risau gelongsoran tanah lebih serius akan berlaku kesan hujan berterusan khususnya pada waktu malam. Pegawai Jurusains dari cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Zaidi Daud semalam dibawa melawat lokasi tanah runtuh di kawasan cerun Kampung Lereng Bukit. Dua lokasi lain ialah cerun bukit laluan ke Muzium Petroleum dan cerun berdekatan bangunan RTM.

Pada 6 Januari lalu, enam sekeluarga meliputi 20 orang yang mendiami kawasan cerun bukit telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di dewan serba guna Kampung Lereng Bukit. Jabatan Bomba dan Penyelamat antara agensi pertama yang mengambil tindakan memindahkan mangsa ke pusat tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan. Kesemua mangsa hanya dibenarkan berlindung di pusat tersebut sehingga Ahad ini dan diminta mencari lokasi kediaman sementara di tempat lain.

“Kita berharap akan ada penyelesaian kekal untuk mengatasi masalah ini,“ kata Datuk Bandar Adam Yii. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri bagaimanapun meminta JKR untuk melakukan kajian menyeluruh di Bukit Kanada, bukan tertumpu dikawasan terjejas sahaja.

Quick Link