News & History

Prohibition of Open Burning
Posted on : 05 Aug 2021  Source of News: NREB Sarawak
 

(Bahasa Malaysia version only)

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mengingatkan penduduk tempatan serta semua industri yang beroperasi di Sarawak agar tidak melakukan pembakaran terbuka. Pembakaran terbuka adalah penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara di Sarawak yang boleh memudaratkan kesihatan awam serta boleh menjejaskan ekonomi Negeri.

Cuaca panas dan kering ketika ini menyebabkan potensi berlakunya kebakaran di kawasan-kawasan yang mudah terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah sangat tinggi.

Berdasarkan rekod pemantauan NREB, sebanyak 252 titik panas (hotspot) dikesan dari Januari sehingga Julai 2021, berbanding 201 titik panas pada tahun 2020 dan 280 pada tahun 2019 bagi tempoh yang sama. Bilangan ini dijangka akan terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan sehingga pertengahan September nanti.

Walau bagaimanapun, tiada hari yang mencatatkan bacaan IPU pada Kategori Tidak Sihat di Sarawak dari Januari sehingga Julai 2021 di mana kualiti udara adalah pada paras di antara Kategori Baik dan Kategori Sederhana.

Lazimnya, peningkatan kes pembakaran terbuka ini adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pertanian sara diri penduduk tempatan, pembukaan tanah untuk pertanian komersial, serta kebakaran hutan dan belukar.

Oleh yang demikian, penduduk tempatan dan pihak industri terutamanya sektor pertanian, disarankan agar mengamalkan operasi “sifar pembakaran terbuka” serta menggunakan kaedah-kaedah yang lebih mesra alam seperti “composting”, “mulching” dan lain-lain bagi tujuan pelupusan sisa bio-mass tumbuhan dan pembukaan tanah.

Pihak yang menyebabkan atau melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 30(1)(a) dan 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2019 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 dan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dengan kompaun sebanyak RM1,000 bagi setiap hari berlakunya pembakaran terbuka tersebut, jika disabit kesalahan.

NREB ingin menekankan bahawa usaha membenteras dan memberhentikan pembakaran terbuka adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Sehubungan itu, NREB merayu agar aktiviti atau insiden pembakaran terbuka dilaporkan dengan kadar segera ke Pejabat-pejabat NREB berdekatan atau Whatsapp Hotline NREB di 013-7595866. Kerahsiaan laporan adalah dijamin menurut peruntukkan Seksyen 38: Perlindungan Kerahsiaan Pemberi Maklumat, Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2019.

~ Tamat ~

Mdm. Peggy Ronin ak Edin
Controller of Environmental Quality, Sarawak

Mr. Jonathan Manggah
NREB Information Officer

Quick Link