Berita & Peristiwa

OBP dikeluar bergantung kepada keadaan, keperluan
Tarikh : 23 Oct 2017  Sumber Berita: The Star Online & Utusan Borneo Online
 

oleh Patricia Gari

KUCHING, 18 Okt 2017: Permit pembakaran terbuka (OBP) di negeri ini akan dikeluarkan bergantung kepada keadaan dan keperluan kes atau permohonan.

Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata langkah itu diambil berikutan keadaan corak cuaca di Sarawak yang sangat tidak konsisten ketika ini.

Tambahnya, NREB mengambil ketetapan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku lebih-lebih lagi membabitkan pembakaran tanah gambut.

“Kami (NREB) memproses permohonan bagi OBP mengikut kes kerana corak cuaca yang sangat tidak konsisten ketika ini.

“Kalau mengikut ramalan (cuaca) sebelum ini sepatutnya musim panas dan kering di Sarawak berakhir September ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya lagi NREB mempunyai prosuder operasi standard (SOP) untuk memproses setiap permohonan mendapatkan OBP.

Tambahnya, NREB akan memantau rapat perubahan corak cuaca termasuk mengambil kira faktor lain seperti jerebu bawaan angin dari negara jiran.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menerusi portal rasminya menyatakan negara mula memasuki fasa peralihan monsun bermula 6 oktober ini yang dijangka berterusan sehingga awal November 2017.

Dalam tempoh itu, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah.

Lazimnya, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang yang lebih kerap berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, pantai barat Sabah, kawasan barat serta tengah Sarawak.

Quick Link