Berita & Peristiwa

Petani dan pemilik ladang tempatan diberi amaran supaya tidak melakukan sebarang kegiatan pembakaran terbuka
Tarikh : 16 Aug 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Petani dan pemilik ladang tempatan diberi amaran supaya tidak melakukan sebarang kegiatan pembakaran terbuka memandangkan Sarawak sedang menghadapi jerebu dan musim kering. Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata, mana-mana pembakaran terbuka yang dilakukan pada masa ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Menurutnya, NREB juga telah menghentikan pengeluaran permit pembakaran terbuka sejak Julai lalu. “Oleh itu, sebarang aktiviti pembakaran terbuka sekarang adalah menyalahi undang-undang,” katanya selepas sidang media mengenai Persidangan Kualiti Udara Ke-10 (BAQ) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Menurut Peter, NREB kini dapat mengesan kegiatan pembakaran terbuka dengan menggunakan teknologi seperti melalui imej satelit dan data peta digital. Justeru, beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap kegiatan tersebut yang boleh memburukkan lagi jerebu di Sarawak, dengan denda sehingga RM30,000.

Peter berkata, Sarawak diramal akan mengalami musim panas dan kering sehingga September. “Walaupun kita tidak mengharapkan ia (jerebu) menjadi serius seperti tahun-tahun sebelum ini, ia masih memberi kesan kepada kita disebabkan jerebu rentas sempadan dari Kalimantan yang dibawa tiupan angin. “Namun keadaan dijangka bertambah baik bulan depan, dengan lebih banyak hujan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata NREB dan agensi lain yang berkaitan juga sedang memantau kebakaran hutan tertentu dan pembakaran terbuka yang boleh merebak dengan mudah.

Quick Link