Berita & Peristiwa

Jerebu rentas sempadan jejas kualiti udara di Miri
Tarikh : 16 Aug 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

MIRI: Kejadian jerebu yang menjejaskan kualiti udara dilaporkan di Miri semalam dipercayai berpunca akibat jerebu rentas sempadan dari Indonesia bukannya akibat pembakaran setempat.

Jurucakap Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) berkata corak tiupan angin semasa telah membawa jerebu daripada Indonesia ke Sarawak.

“Pasukan penguatkuasaan NREB Miri sentiasa bersedia untuk memantau jika ada aktiviti pembakaran terbuka tempatan.

“Pasukan penguatkuasaan juga menjalankan rondaan harian di sekitar Permyjaya, Kuala Baram, dan pinggir bandar Miri,” kata jurucakap tersebut ketika dihubungi The Borneo Post semalam.

Menurutnya, pasukan itu sudah di lapangan untuk memastikan tiada aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku semasa keadaan cuaca panas ini.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan aktiviti pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali di mana ladang-ladang termasuk penduduk setempat diminta untuk mematuhi undang-undang atau mereka akan dikenakan kompaun atau didenda.

“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti pembakaran terbuka dilarang dan mereka harus mematuhi peraturan NREB,” ujarnya sambil menambah tiada aktiviti pembakaran terbuka berlaku di sini.

Sementara itu, jerebu dilaporkan berlaku di sekitar Desa Senadin, Lutong, Permyjaya, Tudan, Pujut dan pinggir bandar Miri bermula kira-kira jam 6 hingga 10 pagi semalam.

Sehingga jam 2 petang semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri dicatatkan pada IPU baik iaitu 45.

Quick Link